Menurut pandangan penulis. Segala kesilapan amat dikesali.
Adakah pembaca (sesetengah pembaca) tertanya-tanya mengapa empunya diri yang sering bangun lewat secara tiba-tiba bangun lebih awal daripada biasa, terutamanya jika ingin menghadiri sesuatu program pada keesokan pagi? Kesemua ini berlaku adalah kerana jam biologi yang berfungsi dalam badan kita.
Jam biologi berfungsi mengatur fungsi tubuh seseorang manusia sepanjang hari. Ia menentukan masa untuk makan, bekerja, membuang air, dan juga tidur. Sebab itu ada masanya kita akan merasakan bahawa kita berasa sesuatu dalam satu tempoh masa tertentu (seperti mengantuk,...) kerana tubuh badan kita sedang memberitahu kita supaya melakukan sesuatu untuk mengembalikan semula kelancaran sistem tubuh badan kita (seperti perasaan mengantuk yang menyebabkan kita tidur demi mengembalikan semula tenaga yang hilang setelah seharian bekerja).
Jam biologi ini amat penting bagi memastikan kelancaran sistem tubuh badan kita. Jam biologi juga sebenarnya boleh diubah bagi disesuaikan dengan keadaan semasa, sama seperti kita mengubah waktu pada jam biasa. Contohnya dalam kes seseorang bangun awal kerana perlu menghadiri sesuatu program. Jam biologi dalam tubuh akan berfungsi seperti 'jam loceng' yang akan membangunkan kita dalam suatu tempoh masa tertentu. Tetapi isyarat bangun jam biologi ini tidaklah setepat jam loceng biasa (dalam sesetengah kes, jam biologi boleh menjadi setepat jam loceng biasa dalam memberitahu bila untuk bangun). Biasanya ketepatannya adalah dalam lingkungan beberapa minit hinggalah beberapa jam.
Tetapi jam biologi juga bergantung pada keperluan seseorang. Sebagai contohnya, jika seorang pekerja melakukan tugasan hingga lewat malam dan perlu bangun awal pada keesokan hari. Dalam keadaan sebegini, sudah tentu orang tersebut tidak akan mendapat tidur yang mencukupi dan sudah tentu tubuh badannya akan berasa letih dan tidak dapat beroperasi pada tahap optimum kerana tidur merupakan satu keperluan untuk tubuh badan seseorang diatur semula untuk meneruskan fungsi pada esok hari. Dalam sesetengah kes, jam biologi dalam tubuh seolah-olah akan menetapkan semula masa untuk tidur sebentar jika mempunyai sebarang masa lapang ketika tidak melakukan apa-apa dan secara automatiknya akan menyedarkan orang itu apabila tiba masanya. Tetapi ini bergantung kepada kebolehan seseorang mengawal jam biologinya. Sebab itulah sesetengah orang yang tidur lewat pada malam hari mungkin akan terlajak bangun pada keesokan hari walaupun orang itu sudah berniat untuk bangun awal pada esok hari. Dan kebolehan perubahan waktu jam biologi ini tidak hanya terhad pada tidur sahaja. Ia juga boleh diubah untuk keperluan-keperluan lain dalam sesuatu keadaan mendesak yang tidak boleh dielakkan.
Akhir kata, fungsi jam biologi ini bergantung pada setiap individu yang mengawal tubuh badan masing-masing. Kebolehan seseorang untuk mengawal jam biologinya boleh ditingkatkan, biasanya melalui latihan yang dijalankan setiap hari. Dan jam biologi juga bergantung kepada tahap kesihatan tubuh seseorang. Semakin baik tahap kesihatan, semakin baiklah jam biologinya. Oleh itu, adalah penting untuk kita menjaga tubuh badan kita supaya sentiasa berada dalam keadaan yang sentiasa optimum dan sihat



No comments:
Post a Comment