The Writer

My photo
Representative of Devlet-i 'Aliyye-i Ilinsaiyye at Japan

14 February 2011

Ekranoplan

Salah sebuah kenderaan yang jarang diketahui.



Pada tahun 1970an, apabila satelit perisikan Amerika berjaya memperoleh gambar pertama kapal ini ketika ia berada di darat, mereka menyangka kapal ini hanyalah merupakan sebuah kapal terbang bersaiz Jumbo yang biasa yang sedang dalam pembinaan.. Namun apabila mereka memperoleh gambar kapal ini berada di permukaan air, persoalan mula timbul. Apakah ia sebenarnya?


Ekranoplan merupakan perkataan Rusia yang bermaksud skimmer (peluncur). Ia bukannya sebuah kapal ataupun kapal terbang, tetapi merupakan gabungan kedua-duanya. Ekranoplan tergolong dalam kumpulan kenderaan yang dikenali sebagai 'Wing-in-ground-effect vehicle (WIG)' kerana kapal ini 'terbang' kesan daripada kusyen udara yang terbentuk hasil daripada mampatan udara antara sayapnya dengan permukaan tanah yang dijana oleh gerakannya ke hadapan. Kapal ini berkongsi persamaan dengan hoverkraf memandangkan kemampuannya untuk bergerak di atas kusyen udara. Namun, berbanding hoverkraf, kapal ini tidak akan terus terapung sewaktu tidak bergerak sebaliknya akan berada di atas tanah ataupun air.



Kapal ini bersaiz besar dan mampu bergerak laju (selaju sebuah pesawat komersial) dengan ketinggian penerbangannya hanyalah setinggi beberapa meter dari permukaan bumi. Disebabkan ketinggian penerbangannya itu menyebabkannya sukar dikesan oleh radar musuh, menjadikannya sesuai digunakan untuk melancarkan serangan mengejut ke atas sesebuah negara. Kapal ini mula dibangunkan sewaktu Perang Dingin secara rahsia di Rusia untuk  membangunkan sebuah kenderaan yang mampu mengangkut muatan berat pada kelajuan tinggi. Kapal ini dibina supaya mampu membawa muatan ketenteraan dan bergerak laju dalam jarak yang jauh. 

Walaupun memiliki sayap seperti kapal terbang, sayap ekranoplan tidak cukup besar untuk menerbangkannya seperti kapal terbang biasa. Namun, sayap pendek yang dimiliki ekranoplan sememangnya direka begitu untuk membolehkannya mengangkut beban berat serta terbang dengan laju dan stabil hanya beberapa meter dari permukaan bumi. Sayap pendek ini juga menyebabkan wujudnya prinsip aerodinamik yang dinamakan 'Ground Effect', seterusnya menjadi asas kepada pembinaan 'Wing-in-ground effect vehicle (WIG)' (ekranoplan).

Fenomena 'Ground Effect' dapat dilihat pada pesawat yang melakukan pendaratan. Sewaktu hendak mendarat, pesawat kelihatan seperti hendak terus 'terapung' sepanjang landasan sebelum tayarnya mencecah landasan. Hasil mampatan udara yang berlaku antara sayap pesawat dengan permukaan landasan menyebabkan berlakunya fenomena ini. Prinsip ini juga membolehkan ekranoplan mengangkut beban yang lebih berat berbanding pesawat kargo yang sama saiz dengannya tetapi hanya terbang beberapa meter sahaja dari permukaan bumi.

Antara contoh fenomena 'Ground Effect' yang dapat dilihat pada kapal terbang ketika mendarat.


Seperti yang dapat dilihat, kadar penurunan pesawat itu berkurangan tatkala menghampiri landasan  disebabkan oleh fenomena ini.

Kapal jenis ini memiliki beberapa keistimewaan. Selain mampu membawa beban yang berat, ekranoplan juga berupaya bergerak di tanpa dikesan radar selain sukar untuk kapal-kapal laut musuh menembaknya disebabkan ketinggian penerbangannya.


Ekranoplan digerakkan dengan menggunakan sama ada enjin turbofan ataupun turboprop seperti sebuah kapal terbang biasa. Enjin-enjin ini diperlukan bagi membolehkan kapal yang besar dan berat ini bergerak di udara pada kelajuan tinggi. Contohnya ekranoplan KM memiliki 10 buah enjin turbojet bagi membolehkannya mengangkut muatan berat pada kelajuan tinggi.

Antara ekranoplan yang telah dirancang dan dibina sewaktu Perang Dingin:

KM (Caspian Sea Monster)
Versi terbesar pernah dibina. Ekranoplan ini sepanjang lebih daripada 100 meter dan seberat 500 tan.



Lun (Hen Harrier)
Sepanjang 70 meter, seberat 280 tan, dan membawa 6 buah misil yang berupaya memusnahkan kapal musuh.


A-90 Orlyonok
Seberat 140 tan dan sepanjang 58 meter.



Dan juga ekranoplan yang telah dibina sepanjang Perang Dingin.


Video yang menunjukkan penerbangan ekranoplan.





Memandangkan ciri-ciri yang dimilikinya sebagai sebuah kenderaan air yang efisien, ekranoplan mungkin boleh menjadi kenderaan air pada masa depan memandangkan ia begitu selamat dan pantas. Kini, kebanyakan negara telah menjalankan program kajian dan pembangunan ekranoplan masing-masing memandangkan ciri-cirinya yang berguna dalam aspek ketenteraan ataupun awam.

1 comment:

  1. background music m'jd seram jika blog ini di baca pkol 3 pagi..tq, :::nut-dilah<<

    ReplyDelete